Tuesday 7 July 2009

Brunei DPMM FC gagal jinakkan Sengkang PunggolOleh HJ Rahim (Dipetik dari Media Permata pada Selasa, 7 Julai 2009)

Brunei DPMM FC gagal jinakkan Sengkang Punggol
Oleh HJ RahimBANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Pasukan Brunei DPMM FC gagal menjinakkan pasukan Sengkang Punggol apabila tewas 1-2 perlawanan ke-17 persaingan Liga S di Stadium Hougang, Singapura, malam ini.
Kekalahan skuad bimbingan Vjeran Simunic itu membuat pasukan Tampines Rovers lega apabila kedudukan mereka tidak digugat selepas baru saja merampas kedudukan ketiga dari Brunei DPMM FC.
Brunei DPMM FC yang tidak menyenaraikan keseluruhan tonggak utama bagaimanapun berjaya memberi saingan kepada pasukan lawan namun tanpa khidmat Abdul Hamid, Haji Subhi Abdillah Bakir dan Ivan Jerkovic menyaksikan anak buah Simunic gagal memperlihatkan sentuhan sebenar.
Penyerang yang lebih banyak duduk di bangku simpanan, Abu Bakar Mahari diberi sandaran untuk menggantikan ketiadaan Abdul Hamid dan Hilmy Zambin pula berperanan mengisi posisi Ivan Jerkovic.
Sengkang Punggol yang sudah bersedia berdepan dengan pasukan Juara Piala Liga jelas lebih terancang ketika melakukan asakan mujur kekentalan pertahanan gandingan Rene Komar, Pengiran Sallehuddin dan Yusof Salleh terlalu kukuh untuk ditembusi.
Bagaimanapun usaha pasukan tuan rumah berjaya juga selepas Mamadou Diallo yang bijak meloloskan diri dari kawalan pertahanan berjaya melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Wardun Haji Mohd Yusof di minit ke-42.
Di separuh kedua, rentak anak buah Simunic berubah dengan lebih banyak membuat asakan apabila Rene Komar ditukar ke posisi tengah.
Beberapa percubaan Brunei DPMM FC bagaimanapun lebih banyak tersangkut selepas penjaga gol Sengkang Punggol, Amos Boon lebih cekap mengawal gelanggang.
Skuad Brunei DPMM FC tersentak buat kali kedua apabila Murphu Wiredu pula mengambil giliran untuk menewaskan Wardun di minit ke-63 untuk kedudukan 2-0.
Sekalipun ketinggalan jaringan, anak buah Simunic berusaha bangkit untuk merapatkan jurang jaringan menerusi beberapa percubaan yang menekankan lawan.
Mohd Shahrazen akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan Brunei DPMM FC apabila bijak menanduk masuk bola selepas menerima umpanan menarik menerusi rembatan percuma pemain kidal, Shairol Haji Shari di minit ke-84.
Jaringan semangat itu terus merancakkan perlawanan dan Helmi Zambin hampir saja menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang tetapi Amos Boon sempat menepis bola keluar sementara tandukan Rene Komar pula tepat ke dakapan penjaga gol di minit akhir perlawanan.
Sekalipun tewas, Brunei DPMM FC masih kekal di tangga keempat berkongsi 32 mata dengan Tampines Rovers yang menduduki tangga ketiga dengan kelebihan jaringan.
Brunei DPMM FC akan meneruskan perlawanan menentang pasukan Tampines Rovers pada 10 Julai depan di Stadium Jalan Besar.